21 December 2008

Kenangan ..







Antara tempat-tempat yang dilawati,



Kenangan Setahun Yang Lalu




Mengimbau kenangan setahun lalu. Terasa bertuah sangat kerana dapat mengikuti trip Lawatan Sambil Belajar ke negara matahari terbit. Waktu itu musim dingin. Yang paling tidak dapat dilupa ialah bila dapat naik ke Gunung Fuji (walaupun tak sampai summit). Menjadi kenangan pengalaman sejuk menggigit tulang bila angin bertiup kencang.


01 October 2008

Aidulfitri

Alhamdulliah syukur. Hari ini 1 Syawal 1429 Hijrah. Umat Islam seluruh dunia merayakan Aidilfitri. Syukur kita masih dipanjangkan umur untuk berada dalam bulan yang mulia ini. Syukur juga kerana dapat menunaikan ibadat puasa tanpa banyak cabaran dan dugaan. Syukur juga kerana negara dalam keadaan aman. Tanah air sentosa dan ceria. Cuma, beberapa kawasan di Utara Tanah Air dinaiki air. Banjir. Namun tentunya ada hikmah di sebalik musibah.



Setakat tengah hari ini sebanyak 89 SMS ucap selamat Hari Raya telah aku terima. Syukur, Allah masih mengizinkan aku diingati (dan mungkin juga dihormati) oleh pelbagai golongan dan peringkat umur: tua, muda, pelbagai bangsa dan agama. Alhamdulillah kesemuanya dapat aku balas, dengan SMS juga. Sedekad-dua dulu, trend sebegini belum ada. Semuanya masih menggunakan kad ucap selamat. Dan tentunya memakan kos yang agak tinggi. Hari ini, dengan SMS semuanya dapat dihantar dengan cepat, mudah dan murah.



Hari ini, ungkapan "SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, maaf zahir dan batin" sudah seperti ketinggalan zaman. Walaupun sebutan itu ringkas, sesuai dengan kaedah SMS (Sistem Mesej Singkat = Short Message System) tetapi orang lebih gemar memasukkkan doa, nasihat, pantun, seloka, untaian berirama dan sebagainya dalam ucapannya, walaupun dengan cara itu terpaksa memakan dua atau tiga segmen hantaran, yang bermakna juga membabitkan kos yang berganda. Namun kerana mungkin ianya lebih bermakna, pun cuma sekali setahun, persoalan kos tidak menjadi faktor halangan.



Berikut adalah beberapa contoh SMS yang aku terima;



1 "Semoga Allah jadikan subuhmu Cahaya, Zohormu Gembira, Asarmu Bahagia, Maghribmu Keampunan, Isyakmu Kebarkatan dan doamu diterima. Diberkati rezekimu serta dibuka padamu pintu syurga. Salam Aidilfitri, Maaf Zahir Batin".

2. "Bertahajud menyerikan wajah. Bersyukur membajai barkah. Bermuhasabah mencetus hikmah. Bertawakal membuah pasrah. Bersaudara menyemai mahabah. Berukhwah kerana Allah. Selamat Menyambut Hari Raya."


3. "Ya Allah, di ambang Syawal yang mulia ni, engkau muliakan dan Engkau sayangi saudaraku ini, bahagiakan keluarganya, sihatkan tubuh badannya, berkati rezekinya, kuatkan imannya, permudahkan urusannya, terimalah ibadatnya, serta kau ampunilah dosanya, jauhi dari segala fitnah. Amin Ya Rabul Alamin. Selamat Hari Raya"


4. ""Nyimpen jenang neng njero tin, arek digowo mareng suro, keluputan kulo lahir batin, salah silap njalok ngapuro. Buko Poso lawuh'e gereh, njegor sungei dicaplok boyo, keluputanku seng akeh-akeh, kito 0-0 lah yo?"


5. "Kalo dilipek sebosar kuku, kalau dibontang sebosar alam. Kok hilang dicaghi, Kok hanyut dipinteh, Kok tenggelam disolam. Datang biarla nampak muko. Kok poei biarla nampak belakang. Jauh diimbau, dokek digamit. Seuntai salam, sojombak kato, Dogup bicagho. Kok tasalah maaf babanyak. Nan Qadim hanyo sifat Allah juo. Meghisik raso. Salam aidilfitri, maaf zahir batin."




Demikianlah beberapa contoh kandungan beberapa SMS yang aku terima. Sebahagiannya penuh dengan kata nasihat, doa yang menusuk kalbu, dan tak kurang juga yang mencuit rasa. Terima kasih diucapkan kepada pengirim-pengirim yang budiman. Moga Allah membarkati hidup mereka. Amin.

01 September 2008

Ramadhan

Hari ini, 1 Ramadhan, semua umat Islam di seluruh dunia memulakan ibadat puasa. Saban tahun, bila Ramadan tiba, kita berpuasa. Setiap tahun sama. Tiada beza. Tapi, sebenarnya ada sesuatu yang membezakan puasa kita dari tahun ke tahun, iaitulah tahap penghayatan kita terhadap ibadat itu sendiri.
Waktu awal kanak-kanak, belum pun bersekolah lagi, ibubapa dah suruh kita puasa. Kalau tak tahan sampai petang, kadang-kadang ibu suruh kita buka awal, mungkin kasihan lihat kita melepek. Tahun-tahun berikutnya kita puasa kerana ibubapa kita puasa, abang kakak kita puasa. Cikgu kat sekolah suruh kita puasa. Tapi kita tak ambil kisah sangat tentang tujuan kita berpuasa, walaupun ibubapa dan cikgu kat sekolah selalu beritahu. Walaupun berpuasa, aktiviti kita tak berbeza daripada waktu tidak berpuasa. Kita bermain macam tak puasa. Kita bercakap, bergaduh dan macam-macam lagi, macam tak berpuasa.
Semakin kita dewasa, penghayatan kita terhadap ibadah ini semakin berbeza. Dalam keadaan berpuasa, kita lebih berhati-hati bila bercakap, takut tercakap benda-benda yang tak patut dicakapkan dalam bulan puasa. Kita lebih berhati-hati dalam perbuatan dan tingkah laku agar ianya tidak "merosakkan" ibadah puasa. Pendek kata semua pancaindera kita kawal agar turut sama berpuasa. Kita takut sangat kalau puasa kita "rosak" dan tidak diterima Allah.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang- orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah 183).
Rasulullah S.A.W. berpesan. "Barangsiapa menahan kejahatannya di bulan ini, Allah akan menahan murkaNya pada hari ia berjumpa denganNya. Barangsiapa memuliakan anak yatim di bulan ini, Allah akan memuliakannya pada hari ia berjumpa denganNya. Barangsiapa menyambungkan tali persaudaraan (silaturahim) di bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmatNya pada hari ia berjumpa denganNya. Barangsiapa memutuskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmatNya pada hari ia berjumpa denganNya. Barangsiapa melakukan solat sunat di bulan ini, Allah akan menuliskan baginya kebebasan dari api neraka. Barangsiapa melakukan solat fardu baginya ganjaran seperti melakukan 70 solat fardu di bulan lain. Barangsiapa memperbanyak salawat kepadaku di bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan meringan. Barangsiapa di bulan ini membaca satu ayat Al-Quran, ganjarannya sama seperti khatam Al-Quran pada bulan-bulan yang lain.
Selamat menunaikan ibadat puasa. Semoga ibadat kita diterima Allah S.W.T

30 August 2008

Kemanusiaan

Seorang rakan bercerita: "Pada suatu petang, saya bersama isteri yang sedang mengandung anak pertama pulang dari kampung di Melaka menuju ke Kluang dengan manaiki motosikal kapcai separuh umur. Laluan di sepanjang lebuhraya PLUS kelihatan lengang. Takdir Tuhan menentukan bahawa sesampainya saya ke suatu lokasi antara Pagoh dan Yong Peng roda hadapan motosikal meletup. Motosikal sukar dikawal lantas terbabas dan terhumban ke lereng bukit di kiri jalan. Saya dan isteri dengan segala susah payah dan kesakitan menarik semula motosikal ke atas bahu jalan.


Tidak cukup dengan kesengsaraan itu, Tuhan seperti mahu menduga kesabaran kami dengan menurunkan hujan lebat ketika saya terbongkok-bongkok memeriksa rim roda yang ternyata masih utuh. Syukurlah motosikal masih boleh disorong.

Saya melihat perut isteri yang jelas membuncit dik baju yang basah. Kasihan di hati saya melihat dia berjalan terhinjut-hinjut. Mungkin kerana menahan kesakitan.


"Awak OK?".


"Saya OK bang. Abang?"

"Abang OK", jawabku ringkas walaupun tulang kering terasa sakit.

Dalam hujan saya menyorong motosikal menghala ke Yong Peng. Isteri mengekori saya, kadang-kadang di belakang, kadang-kadang di sisi. Kira-kira sejam kemudian, hujan mulai reda. Saya terus menyorong dan bercadang untuk berhenti sekejap di Hentian Sebelah Yong Peng yang terletak beberapa kilometer lagi di hadapan. Moga ada orang yang boleh membantu.

Seperti dirancang, sebuah kenderaan "pick-up" pacuan empat roda tiba-tiba memperlahankan kenderaannya dan berhenti di bahu jalan di hadapan saya.

"Kenapa bang?" tanya pemuda pemandu kenderaan itu sebaik-baik dia keluar dari keretanya, mendapatkan saya.

"Tayar pancit cik!", ujar saya ringkas.

"Nak balik mana?", tanya pemuda itu lagi.

"Kluang. Boleh tolong hantar saya ke Yong Peng tak?"

"No problem. Mari saya tolong", jawabnya.

Saya membantu dia mengangkat motosikal ke dalam kenderaannya. Dia mengambil beberapa utas wayar dari longgokan gulungan yang ada dalam kenderaan itu. Saya melihat saja dia mengikat motosikal itu di dalam kenderaannya. Saya dan isteri dipersilakan masuk ke dalam kenderaan, lalu memecut menghala ke Yong Peng. Isteri dan saya tak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada pemuda itu.

Seperti telah biasa dengan pekan Yong Peng, dia membawa kami ke sebuah kedai membaiki motosikal. Malangnya pekedai sedang mahu menutup kedainya kerana hari mulai malam.

"Tokey! boleh tolong tukar tayar?" tanya pemuda itu, tegas.

"Soli o. Sulah mahu tutup!", ujar pekedai seperti ada sesuatu yang mahu dikejar.

"Tolonglah! Ini kawan mau balik jauh ho!", jerkah pemuda itu.

"Tak boleh ma! Wa tak cinang o", ujar pekedai itu lagi.

"Hei Toke!! Lu mau tolong kaa, tak mahu tolong?!!" Bunyinya seperti mengugut. Berani sungguh pemuda ini, fikir hatiku. Mungkin dia kasihan melihat saya dan isteri yang sedang dalam kesusahan dan kesejukan.

"Oklah!" jawab pekedai seperti terpaksa akur dengan kemahuan pemuda tersebut.

Saya jangka pemuda itu akan meninggalkan kami sebaik-baik sahaja pekedai melakukan kerjanya. Sebaliknya tidak. Ia begitu tekun menunggu pekedai itu melakukan kerjanya sehingga siap. Setelah siap pekedai memasang tiub dan mengganti tayar, saya lihat dia menghulurkan beberapa keping not merah lantas menyerahkannya kepada pekedai itu.

"Encik, tak payah susah-susah! Biar saya bayar", terpacul kata-kata itu dari mulut saya.

"Tak apa. Saya ikhlas. Ni untuk awak sampai Kluang". ujarnya sambil menyelitkan empat keping not RM10 ke dalam saku baju saya.

"Cik! Apa Niii? Encik dah bersusah payah untuk saya", jawab saya sambil cuba memulangkan wang itu ke tangannya. Tapi dia menepis.

"Ambiklah. Untuk abang. Saya betul-betul Ikhlas. Ni kad saya. Kalau ke JB datanglah jumpa saya", jawabnya sambil menghulurkan sekeping "business card" kepada saya.

"Terima kasih Cik. Terima kasih Cik". Terasa tak cukup dengan sekali ucap.

Berlinang air mata saya melihat pemuda itu berlalu pergi. Mudah-mudahan Tuhan mengurniakan pemuda itu dengan rezeki yang melimpah ruah. Saya tatap kad yang masih dalam genggaman. Rupanya pemuda itu seorang kontraktor pendawaian. Patutlah kenderaaannya penuh dengan gulungan wayar dan alat-alat pendawaian elektrik.

SEJAK PERISTIWA ITU, saya akan memberhentikan kenderaan setiap kali melihat penunggang motosikal yang mengalami masalah di lebuh raya. Saya akan lakukan apa yang pernah pemuda dulu lakukan kepada saya. Saya akan bantu mereka membaiki kerosakan sekadar yang saya mampu. Saya akan hulurkan sedikit wang untuk membantu penunggang berkenaan. Sejauh ini tidak kurang 6 orang penunggang yang telah saya temui mengalami masalah di lebuhraya, sebahagiannya pelajar UTM Johor Bahru. "


Demikianlah kisah yang telah diceritakan oleh seorang rakan saya.

*** Komen saya: Itulah kemanusiaan. Sesungguhnya nilai-nilai kebaikan mempunyai "kesan berganda" kalau ianya dilakukan dengan ikhlas. Contoh yang diceritakan oleh rakan saya di atas jelas menunjukkan bahawa satu kebaikan yang diberikan kepada seorang telah berkembang kepada beberapa orang kerana penerima kebaikan merasa bertanggungjawab untuk membalas kebaikan itu, bukan hanya kepada pemberinya, tetapi juga kepada orang-orang lain.

23 August 2008

Zaman kanak-kanak

Zaman kanak-kanak ternyata merupakan era yang sangat seronok untuk dikenang. Pengalaman waktu berada di alam kanak-kanak begitu indah sekali. Tiada masalah melanda fikiran. Siang dan malam berisi dengan aktiviti-aktiviti permainan. Walaupun bentuk permainan ketika itu tidaklah secanggih di zaman ini, namaun ianya cukup menyeronokkan. Bahan-bahan yang ada di persekitaran seperti pelepah upih, rim basikal yang sudah tidak digunakan lagi, tutup-tutup tin, kotak rokok dan sebagainya menjadi bahan-bahan permainan yang menyeronokkan.

Improvisasi bahan-bahan tersebut daripada benda terbuang kepada bahan permainan rupanya menjadi latihan terbaik mengasah minda dan melatih kreativiti kanak-kanak ketika itu. Justru ianya menjadikan kanak-kanak lebih kreatif dan berdikari.

20 July 2008

Imbau-imbauan

"IMBAU" sesuai dengan namanya, merupakan satu wadah untuk kita mengimbau semula segala yang telah kita lalui, semua yang telah kita alami dengan tujuan untuk menilai semula perlakuan-perlakuan dan pengalaman-pengalaman itu supaya menjadi panduan, agar apa yang baik dapat diikut, yang tidak baik perlu dihindar. Dalam mengimbau semula pengalaman lalu, mungkin ada cetusan ide yang boleh dikongsi bersama untuk faedah generasi mendatang.