30 August 2008

Kemanusiaan

Seorang rakan bercerita: "Pada suatu petang, saya bersama isteri yang sedang mengandung anak pertama pulang dari kampung di Melaka menuju ke Kluang dengan manaiki motosikal kapcai separuh umur. Laluan di sepanjang lebuhraya PLUS kelihatan lengang. Takdir Tuhan menentukan bahawa sesampainya saya ke suatu lokasi antara Pagoh dan Yong Peng roda hadapan motosikal meletup. Motosikal sukar dikawal lantas terbabas dan terhumban ke lereng bukit di kiri jalan. Saya dan isteri dengan segala susah payah dan kesakitan menarik semula motosikal ke atas bahu jalan.


Tidak cukup dengan kesengsaraan itu, Tuhan seperti mahu menduga kesabaran kami dengan menurunkan hujan lebat ketika saya terbongkok-bongkok memeriksa rim roda yang ternyata masih utuh. Syukurlah motosikal masih boleh disorong.

Saya melihat perut isteri yang jelas membuncit dik baju yang basah. Kasihan di hati saya melihat dia berjalan terhinjut-hinjut. Mungkin kerana menahan kesakitan.


"Awak OK?".


"Saya OK bang. Abang?"

"Abang OK", jawabku ringkas walaupun tulang kering terasa sakit.

Dalam hujan saya menyorong motosikal menghala ke Yong Peng. Isteri mengekori saya, kadang-kadang di belakang, kadang-kadang di sisi. Kira-kira sejam kemudian, hujan mulai reda. Saya terus menyorong dan bercadang untuk berhenti sekejap di Hentian Sebelah Yong Peng yang terletak beberapa kilometer lagi di hadapan. Moga ada orang yang boleh membantu.

Seperti dirancang, sebuah kenderaan "pick-up" pacuan empat roda tiba-tiba memperlahankan kenderaannya dan berhenti di bahu jalan di hadapan saya.

"Kenapa bang?" tanya pemuda pemandu kenderaan itu sebaik-baik dia keluar dari keretanya, mendapatkan saya.

"Tayar pancit cik!", ujar saya ringkas.

"Nak balik mana?", tanya pemuda itu lagi.

"Kluang. Boleh tolong hantar saya ke Yong Peng tak?"

"No problem. Mari saya tolong", jawabnya.

Saya membantu dia mengangkat motosikal ke dalam kenderaannya. Dia mengambil beberapa utas wayar dari longgokan gulungan yang ada dalam kenderaan itu. Saya melihat saja dia mengikat motosikal itu di dalam kenderaannya. Saya dan isteri dipersilakan masuk ke dalam kenderaan, lalu memecut menghala ke Yong Peng. Isteri dan saya tak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada pemuda itu.

Seperti telah biasa dengan pekan Yong Peng, dia membawa kami ke sebuah kedai membaiki motosikal. Malangnya pekedai sedang mahu menutup kedainya kerana hari mulai malam.

"Tokey! boleh tolong tukar tayar?" tanya pemuda itu, tegas.

"Soli o. Sulah mahu tutup!", ujar pekedai seperti ada sesuatu yang mahu dikejar.

"Tolonglah! Ini kawan mau balik jauh ho!", jerkah pemuda itu.

"Tak boleh ma! Wa tak cinang o", ujar pekedai itu lagi.

"Hei Toke!! Lu mau tolong kaa, tak mahu tolong?!!" Bunyinya seperti mengugut. Berani sungguh pemuda ini, fikir hatiku. Mungkin dia kasihan melihat saya dan isteri yang sedang dalam kesusahan dan kesejukan.

"Oklah!" jawab pekedai seperti terpaksa akur dengan kemahuan pemuda tersebut.

Saya jangka pemuda itu akan meninggalkan kami sebaik-baik sahaja pekedai melakukan kerjanya. Sebaliknya tidak. Ia begitu tekun menunggu pekedai itu melakukan kerjanya sehingga siap. Setelah siap pekedai memasang tiub dan mengganti tayar, saya lihat dia menghulurkan beberapa keping not merah lantas menyerahkannya kepada pekedai itu.

"Encik, tak payah susah-susah! Biar saya bayar", terpacul kata-kata itu dari mulut saya.

"Tak apa. Saya ikhlas. Ni untuk awak sampai Kluang". ujarnya sambil menyelitkan empat keping not RM10 ke dalam saku baju saya.

"Cik! Apa Niii? Encik dah bersusah payah untuk saya", jawab saya sambil cuba memulangkan wang itu ke tangannya. Tapi dia menepis.

"Ambiklah. Untuk abang. Saya betul-betul Ikhlas. Ni kad saya. Kalau ke JB datanglah jumpa saya", jawabnya sambil menghulurkan sekeping "business card" kepada saya.

"Terima kasih Cik. Terima kasih Cik". Terasa tak cukup dengan sekali ucap.

Berlinang air mata saya melihat pemuda itu berlalu pergi. Mudah-mudahan Tuhan mengurniakan pemuda itu dengan rezeki yang melimpah ruah. Saya tatap kad yang masih dalam genggaman. Rupanya pemuda itu seorang kontraktor pendawaian. Patutlah kenderaaannya penuh dengan gulungan wayar dan alat-alat pendawaian elektrik.

SEJAK PERISTIWA ITU, saya akan memberhentikan kenderaan setiap kali melihat penunggang motosikal yang mengalami masalah di lebuh raya. Saya akan lakukan apa yang pernah pemuda dulu lakukan kepada saya. Saya akan bantu mereka membaiki kerosakan sekadar yang saya mampu. Saya akan hulurkan sedikit wang untuk membantu penunggang berkenaan. Sejauh ini tidak kurang 6 orang penunggang yang telah saya temui mengalami masalah di lebuhraya, sebahagiannya pelajar UTM Johor Bahru. "


Demikianlah kisah yang telah diceritakan oleh seorang rakan saya.

*** Komen saya: Itulah kemanusiaan. Sesungguhnya nilai-nilai kebaikan mempunyai "kesan berganda" kalau ianya dilakukan dengan ikhlas. Contoh yang diceritakan oleh rakan saya di atas jelas menunjukkan bahawa satu kebaikan yang diberikan kepada seorang telah berkembang kepada beberapa orang kerana penerima kebaikan merasa bertanggungjawab untuk membalas kebaikan itu, bukan hanya kepada pemberinya, tetapi juga kepada orang-orang lain.

No comments: