01 September 2008

Ramadhan

Hari ini, 1 Ramadhan, semua umat Islam di seluruh dunia memulakan ibadat puasa. Saban tahun, bila Ramadan tiba, kita berpuasa. Setiap tahun sama. Tiada beza. Tapi, sebenarnya ada sesuatu yang membezakan puasa kita dari tahun ke tahun, iaitulah tahap penghayatan kita terhadap ibadat itu sendiri.
Waktu awal kanak-kanak, belum pun bersekolah lagi, ibubapa dah suruh kita puasa. Kalau tak tahan sampai petang, kadang-kadang ibu suruh kita buka awal, mungkin kasihan lihat kita melepek. Tahun-tahun berikutnya kita puasa kerana ibubapa kita puasa, abang kakak kita puasa. Cikgu kat sekolah suruh kita puasa. Tapi kita tak ambil kisah sangat tentang tujuan kita berpuasa, walaupun ibubapa dan cikgu kat sekolah selalu beritahu. Walaupun berpuasa, aktiviti kita tak berbeza daripada waktu tidak berpuasa. Kita bermain macam tak puasa. Kita bercakap, bergaduh dan macam-macam lagi, macam tak berpuasa.
Semakin kita dewasa, penghayatan kita terhadap ibadah ini semakin berbeza. Dalam keadaan berpuasa, kita lebih berhati-hati bila bercakap, takut tercakap benda-benda yang tak patut dicakapkan dalam bulan puasa. Kita lebih berhati-hati dalam perbuatan dan tingkah laku agar ianya tidak "merosakkan" ibadah puasa. Pendek kata semua pancaindera kita kawal agar turut sama berpuasa. Kita takut sangat kalau puasa kita "rosak" dan tidak diterima Allah.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang- orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah 183).
Rasulullah S.A.W. berpesan. "Barangsiapa menahan kejahatannya di bulan ini, Allah akan menahan murkaNya pada hari ia berjumpa denganNya. Barangsiapa memuliakan anak yatim di bulan ini, Allah akan memuliakannya pada hari ia berjumpa denganNya. Barangsiapa menyambungkan tali persaudaraan (silaturahim) di bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmatNya pada hari ia berjumpa denganNya. Barangsiapa memutuskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmatNya pada hari ia berjumpa denganNya. Barangsiapa melakukan solat sunat di bulan ini, Allah akan menuliskan baginya kebebasan dari api neraka. Barangsiapa melakukan solat fardu baginya ganjaran seperti melakukan 70 solat fardu di bulan lain. Barangsiapa memperbanyak salawat kepadaku di bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan meringan. Barangsiapa di bulan ini membaca satu ayat Al-Quran, ganjarannya sama seperti khatam Al-Quran pada bulan-bulan yang lain.
Selamat menunaikan ibadat puasa. Semoga ibadat kita diterima Allah S.W.T

No comments: