01 October 2008

Aidulfitri

Alhamdulliah syukur. Hari ini 1 Syawal 1429 Hijrah. Umat Islam seluruh dunia merayakan Aidilfitri. Syukur kita masih dipanjangkan umur untuk berada dalam bulan yang mulia ini. Syukur juga kerana dapat menunaikan ibadat puasa tanpa banyak cabaran dan dugaan. Syukur juga kerana negara dalam keadaan aman. Tanah air sentosa dan ceria. Cuma, beberapa kawasan di Utara Tanah Air dinaiki air. Banjir. Namun tentunya ada hikmah di sebalik musibah.



Setakat tengah hari ini sebanyak 89 SMS ucap selamat Hari Raya telah aku terima. Syukur, Allah masih mengizinkan aku diingati (dan mungkin juga dihormati) oleh pelbagai golongan dan peringkat umur: tua, muda, pelbagai bangsa dan agama. Alhamdulillah kesemuanya dapat aku balas, dengan SMS juga. Sedekad-dua dulu, trend sebegini belum ada. Semuanya masih menggunakan kad ucap selamat. Dan tentunya memakan kos yang agak tinggi. Hari ini, dengan SMS semuanya dapat dihantar dengan cepat, mudah dan murah.



Hari ini, ungkapan "SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, maaf zahir dan batin" sudah seperti ketinggalan zaman. Walaupun sebutan itu ringkas, sesuai dengan kaedah SMS (Sistem Mesej Singkat = Short Message System) tetapi orang lebih gemar memasukkkan doa, nasihat, pantun, seloka, untaian berirama dan sebagainya dalam ucapannya, walaupun dengan cara itu terpaksa memakan dua atau tiga segmen hantaran, yang bermakna juga membabitkan kos yang berganda. Namun kerana mungkin ianya lebih bermakna, pun cuma sekali setahun, persoalan kos tidak menjadi faktor halangan.



Berikut adalah beberapa contoh SMS yang aku terima;



1 "Semoga Allah jadikan subuhmu Cahaya, Zohormu Gembira, Asarmu Bahagia, Maghribmu Keampunan, Isyakmu Kebarkatan dan doamu diterima. Diberkati rezekimu serta dibuka padamu pintu syurga. Salam Aidilfitri, Maaf Zahir Batin".

2. "Bertahajud menyerikan wajah. Bersyukur membajai barkah. Bermuhasabah mencetus hikmah. Bertawakal membuah pasrah. Bersaudara menyemai mahabah. Berukhwah kerana Allah. Selamat Menyambut Hari Raya."


3. "Ya Allah, di ambang Syawal yang mulia ni, engkau muliakan dan Engkau sayangi saudaraku ini, bahagiakan keluarganya, sihatkan tubuh badannya, berkati rezekinya, kuatkan imannya, permudahkan urusannya, terimalah ibadatnya, serta kau ampunilah dosanya, jauhi dari segala fitnah. Amin Ya Rabul Alamin. Selamat Hari Raya"


4. ""Nyimpen jenang neng njero tin, arek digowo mareng suro, keluputan kulo lahir batin, salah silap njalok ngapuro. Buko Poso lawuh'e gereh, njegor sungei dicaplok boyo, keluputanku seng akeh-akeh, kito 0-0 lah yo?"


5. "Kalo dilipek sebosar kuku, kalau dibontang sebosar alam. Kok hilang dicaghi, Kok hanyut dipinteh, Kok tenggelam disolam. Datang biarla nampak muko. Kok poei biarla nampak belakang. Jauh diimbau, dokek digamit. Seuntai salam, sojombak kato, Dogup bicagho. Kok tasalah maaf babanyak. Nan Qadim hanyo sifat Allah juo. Meghisik raso. Salam aidilfitri, maaf zahir batin."




Demikianlah beberapa contoh kandungan beberapa SMS yang aku terima. Sebahagiannya penuh dengan kata nasihat, doa yang menusuk kalbu, dan tak kurang juga yang mencuit rasa. Terima kasih diucapkan kepada pengirim-pengirim yang budiman. Moga Allah membarkati hidup mereka. Amin.

No comments: